ARTICLES

Empat Langkah Untuk Mengukuhkan Pelan Persaraan Anda

Kini ramai yang dah ada kesedaran dan mula memikirkan tentang perancangan persaraan. Ada yang dah mula menyimpan, ada yang mengkaji semula pelan persaraan, malahan ada yang menambah simpanan lebih banyak dari sebelum ini. Tahniah!

Dalam artikel ini, Private Pension Administrator Malaysia (PPA) selaku pentadbir pusat untuk industri Skim Persaraan Swasta (PRS), akan menerangkan empat langkah yang boleh anda ambil bagi mengukuhkan lagi pelan simpanan persaraan anda.

1. Mulakan Sedikit, Mulakan Sekarang

Pernah dengar tak istilah ‘compounding interest’ atau kuasa pengkompaunan? Dalam perancangan persaraan, ianya bermaksud melaburkan kembali segala pulangan yang diperolehi dalam pelaburan asal sehinggalah anda bersara.

Dengan cara ini, pelaburan tersebut akan berkembang dan menjana pulangan yang lebih tinggi dalam jangka masa panjang. Anda sebenarnya menggunakan elemen ‘masa’ sebagai penggerak utama bagi menghasilkan pulangan tersebut. Lagi lama anda simpan, lagi banyak kuasa pengkompaunan yang anda dapat. Sebab itulah pentingnya untuk anda mula sekarang walaupun dengan jumlah yang kecil.

Memang sesuai sangat dengan istilah “sikit-sikit, lama-lama jadi bukit” kan?

2.‘Pay-Your-Future-First’ (Bayar Untuk Masa Depan Anda Dahulu)

Ramai yang mengeluh kerana tak berjaya menambah simpanan untuk persaraan, walaupun telah mencuba berulang kali. Sebenarnya, situasi ini berlaku sekiranya anda gunakan gaji anda untuk perbelanjaan anda dahulu, dan kalau ada baki barulah nak simpan.

Akhirnya, memang tiada duit lebih, maka anda pun tiada simpanan.

Apa kata anda ubah kepada teknik ‘Bayar Untuk Masa Depan Anda Dahulu’. Cuba asingkan sekurang-kurangnya 10% daripada gaji setiap bulan untuk membuat simpanan persaraan, kemudiaan baru gunakan baki selebihnya untuk perbelanjaan lain.

3.Menyimpan Setiap Bulan Secara Konsisten

Dunia ini ada pasang surutnya, begitu juga halnya dengan pelaburan. Dengan menyimpan secara konsisten setiap bulan, anda tak perlu risau tentang turun naik pasaran. Ketika ekonomi baik pun anda simpan, ketika ekonomi gawat pun anda simpan.

Dengan mengamalkan teknik ini, anda berkemungkinan meraih pulangan positif dalam jangka masa panjang dan mengurangkan risiko pelaburan. Secara tidak langsung, anda juga menanam tabiat menyimpan dalam diri anda. Sampai suatu masa nanti anda akan mula merasakan macam ada yang tak kena pula kalau sebulan tak dapat menyimpan.

4.Rancang Simpanan Persaraan dengan PRS

PRS adalah skim simpanan dan pelaburan jangka panjang sukarela yang direka bagi membantu anda menyimpan lebih banyak untuk persaraan nanti. Di bawah kawalseliaan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), PRS berusaha untuk memberikan pilihan bagi semua rakyat Malaysia untuk menambah simpanan persaraan di bawah kerangka kerja kawal selia yang kukuh dan tersusun.

Tadi kita ada sentuh mengenai simpanan 10% yang perlu dibuat setiap bulan, tapi di mana kita boleh buat simpanan tersebut? Di sinilah anda boleh jadikan PRS sebagai platform bagi mengukuhkan lagi dana persaraan anda.

Namun begitu, jumlah yang diperlukan apabila nak bersara nanti adalah bergantung kepada gaya hidup individu. Ada yang menyimpan 10% pun dah cukup dan ada yang mungkin memerlukan lebih daripada itu untuk menampung gaya hidup selepas bersara nanti.

Oleh itu, gunakanlah kalkulator persaraan PPA ini sebagai panduan untuk mengira secara anggaran berapa banyak anda perlu simpan untuk hari persaraan nanti.

Kelebihan Menyimpan di PRS

Anda dah pun tahu empat langkah yang perlu dibuat untuk mengukuhkan pelan persaraaan, sekarang jom tengok apa pula antara kelebihan menyimpan di PRS ini.

Simpanan yang Berpatutan Dengan Yuran yang Rendah

Anda tak perlu mula dengan modal yang besar, kerana untuk membuka akaun dan mula menyimpan dengan PRS hanyalah dengan serendah RM100 saja. Sesiapa pun boleh mula hari ini juga.

Malah, caj jualan dan yuran pengurusan Dana PRS adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan unit amanah.

Pilihan dan Fleksibiliti

Terdapat lapan Penyedia PRS yang menawarkan 57 Dana PRS, di mana 26 daripadanya adalah Dana PRS Patuh Syariah. Memang banyak pilihan yang ada, pilihlah Dana yang sesuai dengan toleransi risiko dan matlamat pelaburan anda.

Sekiranya anda tak pasti nak pilih yang mana, anda boleh memilih Pilihan Dana yang Ditetapkan (‘Default Option Funds’) di mana pemilihan dan peruntukan asset Dana PRS yang ditetapkan adalah berdasarkan kumpulan umur, seperti di bawah:

Selain itu, anda juga memiliki fleksibiliti untuk membuat penukaran (‘switching’) ke Dana PRS dalam Penyedia PRS yang sama, atau membuat pemindahan (‘transfer’) ke Penyedia PRS yang lain.

Insentif Cukai

Simpanan yang anda buat dengan PRS juga melayakkan anda untuk mendapatkan pelepasan cukai peribadi sehingga RM3,000 setahun. Penjimatan cukai adalah bergantung kepada kurungan cukai anda, dan insentif ini adalah untuk memberi lebih galakan untuk anda membina simpanan persaraan dengan PRS.

PPA Selaku Pentadbir Pusat PRS

PPA berperanan dalam menyediakan pengurusan akaun seumur hidup dan perkhidmatan kepada Ahli secara berterusan bagi melindungi kepentingan anda sebagai Ahli PRS.

Selain daripada itu, PPA juga membangunkan perkhidmatan PRS Online yang membolehkan anda memantau simpanan dan menambah nilai Dana PRS pada bila-bila masa, di mana-mana saja.

Daftar dan Tambah Nilai Melalui PRS Online

PRS Online merupakan perkhidmatan atas talian yang dibangunkan oleh PPA untuk memudahkan anda memulakan dan menambah simpanan persaraan di PRS dengan mudah, selesa dan selamat. Semuanya di hujung jari sahaja.

Pencarum baru yang membuka akaun PRS melalui PRS Online Enrolment akan menikmati pengecualian yuran pembukaan akaun PPA. Dan bagi yang berumur 30 tahun dan ke bawah pula, tiada caj jualan akan dikenakan.

Seterusnya, Ahli PRS juga boleh menambah nilai caruman melalui perkhidmatan PRS Online Top Up yang disediakan di dalam Portal Ahli PRS.

“Simpanan masa depan anda, kini lebih mudah dengan PRS Online.”

Artikel ini pertama kali diterbitkan di Majalah Labur.