ARTICLES

Membentuk Kesejahteraan Persaraan Pekerja Hari Ini Dengan Skim Persaraan Swasta

Syarikat-syarikat di Malaysia perlu memikirkan tentang peluasan skop faedah dan imbuhan pekerja sebagai langkah bagi menjamin produktiviti dan kelangsungan syarikat untuk jangka masa panjang. Pandemik COVID-19 juga meninggalkan kesan dan kesedaran kepada rakyat Malaysia untuk membuat simpanan untuk tujuan ‘kecemasan’. Mengikut laporan daripada Ranstad pada Jun 2021 menyatakan bahawa 72% golongan pekerja di Malaysia berpendapat bahawa faktor gaji dan pakej faedah yang menarik merupakan kriteria paling penting dalam memilih majikan yang ideal. Disebabkan itu, tidak hairanlah kenapa semakin banyak syarikat yang berusaha untuk menambah baik pakej faedah pekerja mereka, dengan menyediakan kemudahan tambahan seperti keahlian gimnasium, program pembangunan professional, pembiayaan melanjutkan pelajaran dan lain-lain lagi.

Private Pension Administrator Malaysia (PPA) selaku pentadbir pusat Skim Persaraan Swasta (PRS) akan membincangkan aspek penting yang perlu diambil kira oleh para majikan di Malaysia, iaitu persediaan kewangan pekerja untuk persaraan pekerja. Realitinya, meskipun seseorang itu telah bekerja lebih dari 30 tahun, namun caruman terkumpul dalam skim simpanan mandatori belum tentu mencukupi untuk menampung keperluan persaraan yang mereka mahukan. Ini dikukuhkan dengan laporan daripada Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) yang menyatakan 68% tidak yakin mengenai kelestarian skim mandatori mereka untuk bertahan sehingga 10 tahun. Dengan purata jangka hayat rakyat Malaysia yang bakal mencecah 80 tahun menjelang 2050, maka langkah drastik perlu diambil bagi memastikan pekerja mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi untuk keperluan 20-30 tahun selepas bersara.

Antara inisiatif yang boleh diambil oleh majikan bagi memupuk kesejahteraan persaraan di kalangan pekerja adalah dengan menyediakan kemudahan skim PRS untuk pekerja. PRS merupakan skim simpanan dan pelaburan jangka panjang sukarela yang direka bagi membantu individu menyimpan lebih banyak untuk persaraan. Dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), PRS menawarkan pilihan lapan Penyedia PRS dan pelbagai Dana PRS (konvensional dan patuh Syariah) untuk disesuaikan dengan keperluan persaraan, objektif pelaburan dan toleransi risiko individu. PRS membantu menjadi tokok pelengkap kepada skim simpanan persaraan mandatori para pekerja.

Sejak diperkenalkan, PRS telah mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan. Setakat Oktober 2021, jumlah Ahli PRS telah mencapai 512,703 dengan Nilai Aset Bersih (NAB) melebihi RM5.3 billion. Berikut merupakan rumusan prestasi Dana PRS terbaik mengikut kategori:

Majikan boleh memperkenalkan PRS kepada pekerja dengan menyediakan kemudahan skim pemotongan gaji dengan PRS setiap bulan. Caruman PRS secara automatik sudah pasti akan membantu memupuk tabiat menyimpan secara tidak sedar di kalangan pekerja. Dengan kemudahan ini, pekerja boleh menentukan pilihan Dana PRS dan kadar pemotongan gaji mereka sendiri setiap bulan bermula dengan serendah RM100 sahaja. Selain itu, majikan juga boleh memilih untuk mencarum bagi pihak pekerja dalam Dana PRS yang dipilih oleh majikan sendiri melalui pelaksanaan program Penajaan Majikan PRS ataupun program Caruman Bersama Antara Majikan-Pekerja PRS.

Terdapat pelbagai kelebihan menyimpan dengan PRS, terutama dalam menjalinkan hubungan menang-menang antara majikan dan pekerja. Sebagai majikan, anda boleh menarik minat ramai bakat baru untuk menyertai syarikat di samping mengekalkan pekerja yang dedikasi dan cemerlang. Selain itu, majikan akan dilihat sebagai majikan yang prihatin dan sentiasa mengambil berat kebajikan pekerja. Ini secara tidak langsung akan memperkuatkan hubungan sesama pekerja seterusnya meningkatkan daya produktiviti syarikat. Majikan yang mencarum dengan PRS bagi pihak pekerja juga layak menikmati pelepasan cukai sehingga 7% daripada kadar berkanun ke atas caruman PRS yang disumbangkan.

Manakala untuk pekerja pula, dengan perancangan kewangan yang diuruskan oleh pekerja sendiri, ianya mampu meningkat tahap celik kewangan serta membantu mereka dalam membuat keputusan kewangan yang tepat untuk persaraan yang mereka mahukan. Untuk caruman individu dengan PRS pula, pekerja layak menikmati pelepasan cukai peribadi sehingga RM3,000 setahun sehingga tahun 2025.

Sekiranya syarikat anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang Dana PRS dan skim yang ditawarkan oleh Penyedia PRS, PPA selaku pentadbir pusat bagi PRS, boleh membantu untuk mengaturkan pertemuan dengan Penyedia PRS yang anda mahukan bagi membincangkan mengenai skim PRS ini dengan lebih lanjut bersama majikan anda. Layari www.ppa.my/ms/joining-prs/prs-for-employers untuk keterangan lanjut. Selain itu, laman web PPA juga menyediakan pelbagai sumber bagi membantu anda merancang kewangan untuk persaraan anda, antaranya seperti kalkulator persaraan PPA dan laman web e-pendidikan PRS LIVE.

Kesimpulannya, melihat kepada realiti norma kehidupan baru yang lebih mencabar ini bermakna keperluan untuk memiliki dana yang mencukupi untuk persaraan menjadi semakin penting. Oleh demikian, majikan perlu sentiasa proaktif dalam mewujudkan kesedaran dan memberikan pendidikan persaraan secara berterusan bagi meningkatkan tahap celik kewangan pekerja untuk lebih bersedia untuk persaraan. Oleh itu, mulakan perjalanan anda hari ini. Bersama, kita simpan dalam PRS untuk membentuk kesejahteraan persaraan kita.

Artikel ini pertama kali diterbitkan di Utusan Malaysia.