Kelebihan bermula sekarang

Prinsip asas berhubung simpanan untuk persaraan – masa terbaik untuk memulakannya adalah seawal mungkin. Malah, ketika mula bekerja, anda sebenarnya telah memulakan perjalanan anda menuju persaraan.

Bermula lebih awal akan memberi kesan besar kepada jumlah tabungan yang akan anda peroleh untuk persaraan.

Inilah sebabnya:

Faedah Masa dan Kuasa Pengkompaunan

Dengan menyimpan serta melabur wang sebaik sahaja anda mula bekerja, ia memberikan manfaat pertumbuhan terkumpul selama 30 hingga 40 tahun yang akan membantu anda membina dana untuk persaraan.

Mencapai Kebebasan Kewangan

Salah satu perkara yang paling penting adalah untuk mencapai kebebasan kewangan. Untuk mencapainya, anda memerlukan simpanan persaraan mencukupi yang akan membantu menampung semua perbelanjaan termasuk keperluan asas serta perbelanjaan gaya hidup. Ini memberi anda kebebasan untuk mengejar dan menikmati keinginan lain dalam kehidupan tanpa menjadi beban kepada sesiapa semasa bersara.

Mengawal Masa Depan Anda

Menyediakan kewangan untuk persaraan dengan mengetepikan simpanan pada masa sekarang dan melakukannya secara konsisten akan membolehkan anda mengawal masa depan anda. Dengan kawalan ini, ia memberikan keyakinan kepada anda untuk terus menikmati gaya hidup semasa ketika bersara.