Kenyataan Pengerusi

datuk_zaiton_ppa Datuk Zaiton Binti Mohd Hassan
Pengerusi & Pengarah Faedah Awam

Skim Persaraan Swasta (PRS) ditubuhkan pada tahun 2012 untuk mempercepatkan pertumbuhan industri pencen swasta di Malaysia. Objektif utamanya adalah untuk menjadikan PRS sebagai tunggak ketiga dalam rangka kerja pencen negara dan sebagai tambahan kepada skim persaraan mandatori untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia selepas persaraan.

Menurut statistik, rakyat Malaysia secara keseluruhannya masih tidak membuat simpanan yang secukupnya untuk tahun persaraan mereka dengan laporan menyatakan bahawa simpanan melalui skim persaraan mandatori sahaja tidak mampu untuk menampung keperluan kewangan seseorang ketika bersara nanti. Kos sara hidup dan kadar inflasi yang meningkat serta anggaran jangka hayat yang lebih lama memerlukan kita mempunyai pendapatan berterusan untuk bertahan sehingga 20 tahun lagi selepas bersara.

Merujuk kepada perkara ini, rakyat Malaysia perlulah lebih bersedia dari segi kewangan untuk kehidupan selepas bekerja. Bank Dunia mengesyorkan sekurang-kurangnya dua pertiga (66%) daripada gaji terakhir sebagai pendapatan gantian untuk mengekalkan gaya hidup kita ketika bersara. Oleh itu, adalah penting untuk kita menyimpan sebanyak mungkin dan seawal mungkin semasa kita bekerja. Semakin banyak kita menyimpan, semakin kita bersedia dari segi kewangan untuk tahun keemasan kita nanti.

Walaupun terdapat banyak pilihan pelaburan, PRS merupakan sebuah skim yang direka khusus sebagai skim simpanan sukarela jangka panjang untuk membantu rakyat Malaysia menyimpan lebih banyak untuk persaraan. Dengan mencarum dalam PRS, kita boleh menikmati pelepasan cukai peribadi sehingga RM3,000 setiap tahun. Di samping itu, para majikan juga boleh menggalakkan kesejahteraan persaraan dengan mencarum dalam PRS bagi pihak pekerja serta mendapatkan potongan cukai untuk organisasi mereka sehingga 19%.

Di Private Pension Administrator Malaysia (PPA), kami gembira melihat industri terus berkembang sejak pelancaran PRS. Selaras dengan visi Malaysia ke arah menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, PPA juga akan berusaha untuk meningkatkan faedah dan inisiatif untuk PRS di samping terus berkhidmat serta melindungi kepentingan Ahli. PPA tetap teguh dalam usaha untuk terus mengembangkan industri PRS dan akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk mempertingkatkan industri simpanan persaraan dengan PRS.

Datuk Zaiton Mohd Hassan
Pengerusi